Shahnaz A Majid hari ini membuat pengakuan kepada mahkamah bahawa beliau didera secara fizikal dan emosi oleh bekas suaminya Mahmud Abu Bekir, yang juga anak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud Shahnaz, 49, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bahawa insiden itu berlaku di rumah mereka di Sydney dan Kuching.
“Bulan Julai sebelum pulang ke Kuching, saya tak ingat, dia serang saya di dalam rumah. Dia pukul, angkat tangan tampar, tumbuk.
“Saya tak ingat sebabnya sebab ia bukan sesuatu yang penting, bukan isu besar,” katanya.
Dua tahun selepas itu, ketika pulang ke rumah besar mereka yang “sebesar muzium lama” di Kuching, Shahnaz mendakwa diserang lagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamad Abdullah telah menangguhkan perbicaraan kes itu kepada 23 Mei, sementara menunggu keputusan tawaran penyelesaian tersebut.
Shahnaz menuntut aset bernilai RM300 juta yang didakwanya harta sepencarian pasangan tersebut selama 19 tahun berkahwin, serta permohonan RM100 juta tuntutan mutaah.
Pada 11 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan penceraian Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz dengan talak satu.
Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 19.