KETIKA memikirkan tajuk yang sesuai untuk artikel pagi ini, penulis berperang dengan perasaan sendiri sama ada perkataan ‘beromen’ itu sesuai digunakan atau tidak.
Isunya disitu, bagaimana penulis berbangga dengan diri sendiri kerana mampu menulis dalam bahasa Melayu dengan baik, begitu jugalah penulis berbangga dengan imej yang penulis cuba tonjolkan selama ini dalam penulisan – tidak mencarut dan menggunakan kata-kata kesat.
Tapi, melihat kepada ayat-ayat yang digunakan para blogger UMNO yang galak menjadikan pergaulan pada malam himpunan Janji Bersih yang lepas sebagai senjata untuk menghina Pakatan Rakyat kerana kononnya menggalakkan maksiat, maka penulis pilih ‘beromen’ jugalah, baru kena dengan isu yang sedang hangat diperkatakan.
Malam sambutan kemerdekaan dan tahun baru adalah antara 2 malam yang biasa diadakan persembahan hiburan di negara ini sejak zaman berzaman. Ini bukanlah satu masalah kerana ia juga dilakukan di mana-mana negara dalam dunia.
Muda mudi tak kira bangsa bergaul, bersolidariti dan berhibur sementara menunggu detik 12 tengah malam. Disamping bersantai, ini juga masa dan peluangnya anak muda antara kaum beramah mesra.
Cuma tahun ini berbeza kerana peluang malam ambang kemerdekaan itu digunakan untuk menyampaikan hasrat anak muda untuk diadakan satu pilihanraya yang lebih adil di negara ini.
Kebetulan mereka pun memang mahu keluar berhibur, apa salahnya keluar berhibur juga, tapi dengan sedikit perubahan – berbaju kuning dan ada segelintir yang mengibarkan bendera baru negara yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat nanti.
Biasalah kalau anak-anak muda sudah berkumpul, macam-macam karenah dan gaya yang dapat dilihat. Apa pulak masalahnya dengan itu?
Macamlah yang bercakap tu tak pernah muda dan buat perkara-perkara ‘bodoh’ sekali sekala dalam hidup masing-masing? Mungkin tak ada gambar atau dirakam video sajalah.
Yang penting, perlukah perkara ini diperbesar-besarkan dan dikaitkan dengan Pakatan Rakyat? Tanpa atau dengan penganjuran himpunan Janji Bersih, masih ada perkumpulan dan pergaulan bebas anak muda disitu!!
Cuma bezanya malam itu mereka berbaju kuning saja, apa masalahnya?
Penulis rasa PAS juga patut bertanggungjawab dalam hal ini. Jika semua masih ingat bagaimana kuat PAS menentang penganjuran program ‘Sureheboh’ dulu kerana katanya menggalakkan pergaulan bebas?
Hari ini bila Pakatan Rakyat mula rancak mengatur himpunan untuk menyatakan bantahan dan PAS juga terlibat aktif dalam penganjurannya, ‘sejarah’ PAS itu mula memerangkap diri sendiri malah komponen lain dalam Pakatan Rakyat juga.
Kalau boleh, penulis mahu PAS berbuat sesuatu tentang hal ini, tapi dengan Dewan Ulama yang biasa menguruskan hal ini pun sudah kelihatan seperti salah satu sayap UMNO, penulis tidak boleh berharap banyak.