RAUB - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencuri wang milik salah seorang jemaah Masjid Tengku Abu Bakar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superin-tendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun meletakkan begnya yang berisi dompet dan wang tunai RM200 di ruang solat wanita.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.50 pagi itu, mangsa ke tandas sebelum masuk semula ke dalam masjid dan mendapati beg pakaiannya terbuka dan dompet telah tiada.

“Mangsa sempat bertanyakan beberapa individu yang berada di sekitar masjid dan pihak pengurusan masjid juga mendapat makluman awal berkaitan kes kecurian itu.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditahan di Perhentian Bas dekat Pusat Perdagangan Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Serendah, Selangor itu menyimpan wang RM200 dalam dompetnya.

Katanya, suspek bertindak mengeluarkan wang dan membuang dompet mangsa ke dalam salah sebuah pasu di masjid berkenaan.

“Suspek juga menunjukkan sendiri lokasi dompet mangsa yang dibuangnya dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Suspek pernah bekerja sambilan di sebuah kedai makanan dekat Bandar Raub dan difahamkan baru sahaja berhenti kerja,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, suspek dipercayai baru sahaja sampai dari Serendah dan tidur di masjid itu.

Katanya, suspek mendakwa melakukan perbuatan mencuri itu kerana ingin dijadikan tambang bas untuk pulang semula ke kampungnya di Serendah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada dalam kawasan masjid atau surau supaya menjaga barangan berharga termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, tindakan suspek memulangkan semula dompet yang diambilnya dalam beg pakaian mangsa akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

Imam Dua Masjid Tengku Abu Bakar, Abd Rahman Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau sedang memeriksa alat pembesar suara dalam masjid itu.

Menurutnya, pada masa itu dia terlihat seorang remaja lelaki mencampak dompet ke dalam sebuah pasu di penjuru masjid berhampiran tempat wuduk dan tandas wanita.

“Pada waktu itu saya menggunakan mikrofon untuk menguji sistem bunyinya dan sempat saya menjerit sebagai respons apabila melihat perbuatan remaja itu.

“Orang ramai juga keluar dari premis berdekatan dan sempat melihat kelibat suspek melarikan diri keluar dari kawasan masjid menuju ke bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, dia sempat menceritakan kepada anggota polis berdekatan tentang kejadian berkenaan dan menerangkan ciri-ciri fizikal remaja itu.

“Dalam masa singkat sahaja, polis dapat mengesan kedudukan lokasi suspek ketika itu dan berjaya memberkasnya,” katanya.