Jangan abai pemakaian topi keledar kanak-kanak
Anggota JPJ memeriksa penunggang yang tidak memakaikan topi keledar pada anaknya.
ALOR SETAR- ”Maaf encik, topi keledar anak saya pecah,” itulah antara alasan yang diberikan seorang penunggang motosikal yang membawa anaknya tanpa memakaikan topi keledar ketika ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, malam kelmarin.

Pengarahnya, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, ibu bapa atau penunggang perlu peka dengan pemakaian topi keledar walaupun pembonceng adalah kanak-kanak.

Menurutnya, topi keledar yang dipakaikan kepada kanak-kanak juga perlulah yang yang dibenarkan dan mempunyai pelekat Sirim.

“Kesalahan tidak memakai topi keledar antara lima kes tertinggi yang dicatatkan sepanjang Operasi Khas Motosikal yang dijalankan selain kes tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Saman sebanyak RM300 boleh dikenakan kepada penunggang sekiranya kita mendapati pembonceng tidak memakai topi keledar walaupun pembonceng adalah kanak-kanak,” katanya pada Operasi Khas Motosikal yang dijalankan di Lebuh raya Darul Aman malam kelmarin.

Sepanjang operasi yang dijalankan malam kelmarin terdapat dua penunggang motosikal yang gagal memakaikan topi keledar pada pembonceng kanak-kanak.

Ahmad Musadad berkata, bagi penunggang yang membonceng kanak-kanak, mereka perlu meletakkan di bahagian hadapan bagi memudahkan penunggang memerhatikan pembonceng sepanjang perjalanan.

Selain itu, beliau berkata, langkah keselamatan perlu diutamakan bukan sahaja untuk penunggang malah juga pada pembonceng.

“Kita juga mendapati pada musim perayaan ini terdapat penunggang motosikal yang mengabaikan keselamatan, mungkin mereka memikirkan tiada operasi dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Penunggang dinasihatkan agar sentiasa mematuhi keselamatan dan undang-undang bagi mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian