muka

muka

Facebook Badge

TERBARU

Khamis, 13 September 2012

GEMPAR BERAPI : CERITA SEORANG PELACUR


WANITA ini, sama seperti ramai penghuni lain di rumah pelacuran Madaripur, tidak akan berganjak ke tempat lain walupun diusir.


TARA DAS memberitahu, dia merupakan generasi kelima dalam keluarganya yang bekerja di rumah pelacuran yang sama di Bangladesh. Namun, apa yang membimbangkan, dia kini terpaksa berhadapan dengan penunjuk perasaan orang Islam yang mahu perniagaan pelacuran ditutup.
Kawasan pelacuran yang terletak di bandar Madaripur itu telah beroperasi kira-kira 150 tahun lalu dan pekerja seks percaya kehadiran kumpulan penunjuk perasaan berkenaan didalangi syarikat pemaju yang ingin mengambil alih tanah di situ.
Pada bulan lalu kira-kira 10,000 orang yang diketuai oleh kumpulan Islam iaitu Islahe Kaom Parishad (Majlis Reformasi Kebangsaan) telah mengadakan protes. Mereka memaksa rumah pelacuran ditutup dan menghalau keluar seramai 500 pelacur.
"Sejak mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran, saya menjadi bingung dan sukar melelapkan mata. Ke mana harus saya pergi selepas ini?
"Lagipun, hanya rumah kecil dan pekerjaan ini yang saya kenali sejak zaman kanak-kanak. Mohon selamatkan kami daripada kumpulan agama itu," kata Tara.
Jika diimbas, rumah pelacuran itu dibuka untuk pedagang jut ketika zaman kolonial Britain. Ia beroperasi di dalam bangunan batu berlumut tiga tingkat yang berbumbungkan atap zink. Ia terletak di tengah-tengah bandar Madaripur iaitu 60 kilometer dari Dhaka.
Sebelum Bangladesh mencapai kemerdekaan sekitar tahun 1971, perniagaan pelacuran beroperasi secara sah tetapi kini bisnes itu diancam pelbagai aktivis daripada kumpulan Parishad.
Kumpulan Islamik itu telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan melobi pihak berkuasa dengan menekankan bahawa rumah pelacuran merosakkan lelaki muda dan ia harus dihapuskan.
Golongan pekerja seks percaya protes itu dianjurkan oleh ahli perniagaan yang berkait rapat dengan kumpulan politik tempatan. Mereka turut melaporkan mengenai kempen tunjuk perasaan termasuk peranti bahan letupan yang ditemui baru-baru ini dan dua cubaan serangan membakar.
Kontroversi tanah
"Kami tidak sesekali akan meninggalkan tempat ini. Pekerjaan kami ini sah di sisi undang-undang. Kami juga tidak mempunyai pekerja seks bawah umur. Lagipun tempat ini diwarisi daripada nenek moyang kami malah sesetengah daripada mereka masih lagi hidup.
"Hakikatnya ia sebuah konspirasi untuk merampas tanah kami yang bernilai tinggi," jelas Momo Rani Karmakar yang merupakan ketua pekerja seks Madaripur.
Dia turut menambah bahawa seramai 110 kanak-kanak yang menghuni di rumah pelacuran masih dihantar ke sekolah setiap hari.
Sejak aktiviti tunjuk perasaan dijalankan, anggota polis mula mengawasi kawasan manakala pihak kerajaan memberitahu bahawa keputusan akhir untuk melakukan pembangunan baharu di situ masih belum diputuskan.
Pada masa yang sama, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan pentadbir wilayah telah ditubuhkan dan berusaha untuk membuka rundingan bagi menggalakkan pemulihan dalam kalangan pekerja seks.
"Orang Muslim dan golongan elit tempatan tidak mahu era pelacuran terus wujud di bandar ini. Mereka berpendapat aktiviti tidak bermoral ini mungkin satu keperluan pada zaman lalu tetapi kini tidak lagi," jelas ketua jawatankuasa, Siddiqur Rahman.
Tambahnya, pihak berkuasa wajar memulakan proses pemulihan dengan menjalankan kajian bagi mengenal pasti jumlah pekerja bawah umur.
"Jika proses pemulihan ini dijalankan, saya fikir pekerja seks golongan dewasa akan beralih mencari pekerjaan lain termasuklah melibatkan diri dalam kerja sukarelawan," tutur Rahman.
Namun begitu, kumpulan pekerja seks menegaskan mereka tidak akan meninggalkan rumah pelacuran mahupun mencari kerja baharu. Segelintir daripada mereka pernah mencuba bidang lain tetapi diusir oleh masyarakat tempatan.
"Jika kami tidak mempunyai pelanggan, bagaimana saya ingin membeli makanan untuk lima orang anak saya dan menguruskan hal akademi mereka.
"Kini, pelanggan mula bimbang dengan situasi yang sedang berlaku. Mereka menyangka rumah pelacuran ini akan ditutup tidak lama lagi," luah Jhumur, 45.
Melindungi maruah
Ramai pekerja seks mendakwa bahawa tujuan utama kempen penunjuk perasaan itu berlaku adalah disebabkan sebahagian besar keluarga Muslim yang sudah mendirikan bangunan bersebelahan kawasan pelacuran.
Walau bagaimanapun, kumpulan Parishad menyangkal dakwaan itu dan mereka memberitahu tindakan protes diambil bagi melindungi maruah dan moral masyarakat Islam.
"Rumah pelacuran salah satu penyumbang utama pada aktiviti jenayah di wilayah ini. Ia perkara yang memalukan dan tidak layak digelar pekerjaan.
"Mereka turut mengusahakan kedai arak secara haram dan membiarkan kanak-kanak perempuan bawah umur membelinya untuk dijual kepada pengedar dadah terbesar," jelas Setiausaha Kumpulan Parishad, Ali Ahmed Chowdhury.
Sehingga kini, pertelagahan antara kumpulan konservatif Muslim dan rumah pelacuran di Bangladesh yang berlaku telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat rumah pelacuran di daerah itu terpaksa ditutup.
"Sudah berkali-kali kami diingatkan bahawa mereka boleh menembak kami pada bila-bila masa. Tetapi, mereka masih tidak boleh mengusir kami.
"Kami akan memusnahkan rumah pemimpin Muslim sekiranya mereka datang ke sini untuk menghalau kami," jelas Morzina yang kehilangan suami pada dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa kembali ke rumah pelacuran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...