SHAH ALAM 2 NOV : Tindakan Umno-BN mengumumkan projek setiap kali menjelangnya sesuatu Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya akan menjadi sekadar ‘janji tinggal janji’ yang tidak dilaksanakan.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata beliau mengingatkan pemimpin Umno-BN agar tidak ‘memperbodohkan’ rakyat kerana mereka semakin celik politik.
“Kita sudah lali dengan strategi Umno ini, semua jentera yang ada dikerah untuk memenangkan mereka dalam PRK, kecuali Bank Negara sahaja tidak digunakan.
“Tetapi rakyat sudah tahu sangat, sama ada menang atau kalah, kebanyakan projek yang dijanjikan sekalipun yang sudah diluluskan dan dibahas di Parlimen tidak disiapkan,” kata Johari yang dihubungi TVSelangor.
Johari berkata, sekurang-kurangnya sepuluh projek lagi akan diumumkan dengan baki dua hari berkempen demi Umno mencapai kemenangan di DUN Sungai Limau.
“Pasti berjuta-juta lagi akan dijanjikan kerana mereka (Umno) tahu itu semua sekadar pengumuman sahaja bukan terikat dengan sebarang tindakan undang-undang.
“Lebih-lebih lagi, PRK ini penting untuk membuktikan kepimpinan Mukhriz Mahathir yang tewas pemilihan Naib Presiden Umno baru-baru ini, jika beliau tewas lagi, maka beliau akan dilihat sebagai tidak relevan,” jelas Johari.
Dalam menghadapi PRK DUN Sungai Limau di Kedah, Umno-BN mengumumkan sejumlah RM 15.15 juta nilai projek antaranya termasuk bantuan kepada sekolah, program bantuan Azam Tani Mara, peruntukan kepada masjid, bantuan baiki rumah, pemberian cermin mata serta tukun tiruan