Ahmad Yakob
KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan sehingga kini tetap serius dan yakin untuk melaksanakan hudud meskipun terdapat pelbagai halangan, bahkan hasrat merealisasikannya juga dianggap sebagai mainan politik pihak tertentu.
Bukti Kelantan tidak lemah semangat biarpun ada kekangan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan usaha bersungguh-sungguh agar Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 yang diluluskan Dun Kelantan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Menurutnya, apabila disebut pelaksanaan hukum hudud di Malaysia, ramai yang akan mengingati hasrat Kelantan untuk melaksanakan undang-undang itu yang sudah lama diusahakan tetapi dengan pelbagai halangan masih lagi belum berjaya.
“Kita amat hormat Brunei yang sudah mampu menegakkan hukum ini di negara mereka, ini menjadi semangat kepada kita bahawa ALLAH SWT akan pelihara hukum-Nya dan sampai masa insya-ALLAH negeri kita akan dapat laksanakan.
“Ada pihak menyatakan hasrat kerajaan ini sekadar mainan politik sahaja, padahal tuduhan itulah mainan politik dan saya sifatkan golongan yang menolak dan mengejek, mengetepikan syariah Islam khususnya hudud adalah golongan jahil, malah tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Hududullah negeri Kelantan di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.
Ahmad berharap program itu dapat menyedarkan minda dan fikiran umat Islam terhadap hudud supaya membuka jalan bagi dilaksanakan walaupun dianggap terlalu sukar, tetapi suatu hari nanti ia akan jadi kenyataan.
“Sambutan program ini juga diadakan bagi mengadakan tekanan kepada pihak tertentu supaya melihat kepada ajaran dan undang-undang Islam secara positif, bukan negatif.
“Bahkan hukum ALLAH SWT lebih mengatasi daripada undang-undang ciptaan manusia,” katanya.
Tambahnya, sambutan hari hudud itu juga dilaksanakan bagi memberi gambaran sahih terhadap pelaksanaan hukum Islam dalam masyarakat kerana ia bersifat mendidik dan bukannya menzalimi.
“Hudud ini bukanlah bermakna hukuman sebat dan potong tangan semata-mata.
“Malangnya wajah hudud ini telah diberikan imej cukup buruk oleh media barat, dengan sokongan media sekular dalam negara kita yang menjadikan masyarakat sering kali tersalah anggap tentang hudud. Hakikat hudud bermakna batasan,” katanya.
Katanya, pelbagai kes jenayah berlaku sekarang ini sangat menakutkan dan beliau mempersoalkan undang-undang sedia ada tidak mampu mencegahnya dengan berpandangan undang-undang dicadangkan oleh ALLAH SWT adalah pencegahan kepada umat Islam dan wajib memperjuangkannya untuk dilaksanakan di negara serta negeri.
“Apa yang mampu kita (kerajaan negeri) lakukan mengikut bidang kuasa kerajaan negeri sudah kita laksanakan.
"Dengan itu saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan, sama ada negeri atau Persekutuan, sama-sama bertanggungjawab meningkatkan kualiti iman dalam kalangan rakyat dengan bekerjasama menyeru kebaikan cegah kemungkaran menerusi pendekatan masing-masing,” katanya.