muka

muka

Facebook Badge

TERBARU

Isnin, 25 Ogos 2014

Bila dedalu-dedalu liar tidak dapat hinggap, pokok pula ditebang

Dalam Kongress ke-10 PKR yang baru selesai semalam, beberapa kenyataan dari pimpinan PKR yang menarik didengar dan ia menggerakkan saya untuk memberikan pandangan sebagai seorang ditepian politik tanahair. Ia menarik kerana dalam ghairah untuk menunjukkan kewibawaan mereka, pemimpin pemimpin dalam parti itu seolah-olah mengakui hakikat sebenar yang dihadapi oleh parti itu.

Yang paling menarik lagi ialah kenyataan Anwar yang PKR tetap hidup walaupun beliau dipenjarakan, dan ia tentulah kenyataan yang berkait dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan membicarakan kes sodomi 2 beliau penghujung oktober ini.

Sesungguhnya PKR tetap akan hidup jika beliau dipenjarakan oleh undang-undang negara. Malahan saya berpendapat PKR akan lebih mantap lagi kerana jika beliau sudah tidak berada buat sementara dalam politik perdana, PKR tidak akan terbeban dengan masalah peribadi beliau.

Ia akan tetap merupakan sumbangan besar dari Anwar untuk partinya yang diketuai oleh isterinya Dr Wan Azizah. Saya selalu berkata sumbangan pemimpin itu bukan sahaja dengan memegang jawatan dan kuasa, bersara dan mengenepikan diri dari kegiatan politik itu juga boleh dianggap sebagai sumbangan besar terhadap perjuangan parti. PKR tidak akan menghadapi masalah mempertahankan peribadi Anwar dan parti akan lebih bersih dari pandangan kaca mata rakyat yang ramai.

Begitu juga dalam UMNO sekarang ini. Ramai berpendapat jika Najib mahu terus memberikan sumbangan kepada partinya, beliau lebih baik bersara supaya partinya tidak terhimpit oleh kelemahan beliau mentadbir negara. Memberikan ahli-ahli partinya dan rakyat peluang untuk menyusun semula siasah negara itu akan dianggap sebagai pengorbanan kepada rakyat dan negara yang sangat berharga dan ditunggu-tunggu oleh mereka yang serius untuk melihat perubahan kepada negara.

Pendeknya sekarang sumbangan besar boleh diberikan kepada parti dengan tidak bergiat lagi dalam politik dan ia nampaknya pandangan dan cadangan ini begitu relevan baik kepada pemimpin kerajaan dan pemimpin-pemimpin  pembangkang.

Masalahnya pemimpin yang sudah jelas lemah dan bermasalah tidak begitu sudi untuk memberikan sumbangan secara begini. Mereka ini 'ibarat dedalu yang tumbuh subur di atas pokok yang lain'. Dedalu ini akan memakan segala apa yang ada pada pokok itu dan akhirnya pokok itu akan menjadi kurus dan mati akibat dipanjat oleh dedalu yang menghisap segala makanan yang sepatutnya digunakan untuk pohon yang besar tadi.

Baik dalam PR mahu pun BN, pimpinan mereka adalah pokok dedalu yang dalam bahasa biasanya ialah ‘parasite’. Dedalu ini pasti akan membuatkan pokok yang dihinggapi dedalu itu akan mati. UMNO menjadi begini kerana pimpinan dedalu, Pakatan Rakyat pun sarat dengan dedalu yang membunuh ini.

Salah satu dari penyebab Khalid menjadi begini ialah kerana beliau terlalu kedekut dan amat payah bagi dedalu-dedalu dikelilinginya untuk menumpang hidup di atas kuasa PKR di Selangor itu.

Kata setengah orang dedalu dalam PKR itu adalah penghijrahan dedalu-dedalu dari UMNO dahulu. Dedalu-dedalu ini yang membuatkan kerajaan Selangor itu dipimpin oleh orang lain. Jika pimpinan ditukar mungkin dedalu-dedalu ini akan mempunyai peluang untuk memanjat dan hidup di atas pokok yang rendang di Selangor ini.

Yang perlu dijaga ialah pokok yang rendang ini, seperti yang dilakukan oleh Khalid yang mempunyai imej tidak pandai berpolitik itu. “Jika terjadi pertukaran dengan calon dari PKR itu, kita akan lihat dengan pantas pertumbuhan dedalu-dedalu yang berkeliaran sekarang ini” kata seorang yang lama dalam politik Selangor semasa menghadiri majlis meraikan hariraya di rumah sahabat saya di Kuala Lumpur malam tadi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...