
Bagi penulis Shahbudin Husin, barangkali Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno merupakan satu-satunya ahli politik di dunia yang terpaksa menunjukkan di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya semata-mata untuk membuktikan beliau seorang yang pandai dan butir-butir kata yang keluar daripada mulutnya bukannya omong kosong tanpa ilmu.
“Selalunya ahli politik akan berhujah dengan fakta dan angka dan apabila hujah itu dipertikaikan, fakta dan angka yang lebih kukuh akan dikeluarkan supaya ia tidak dapat disanggah lagi.
“Tetapi tidak bagi Ahmad Maslan, beliau cuba mematahkan hujah dengan menunjukkan di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya semasa belajar dulu,” tulis beliau di dalam blognya.
Baginya, itu suatu pendekatan baru yang mungkin boleh ditiru ahli politik lain apabila hujah disanggah dan dipangkah.