muka

muka

Facebook Badge

TERBARU

Khamis, 26 September 2013

AGONG BERANGKAT ZIARAH, SUASANA SUDAH SESAK

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah akan berangkat menziarahi bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang kembali ke rahmatullah, petang ini.

Setiausaha Khas Azizan, Muzaini Azizan, Sultan Abdul Halim akan tiba sekitar jam 3.30 petang di Markas PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, di mana jenazah almarhum ditempatkan ketika ini.

Harakahdaily dimaklumkan, jenazah almarhum akan ditempatkan di markaz tersebut sehingga selesai solat jenazah dan solat Asar, sebelum dikebumikan di Muassasah Darul Ulum.

Dalam pada itu, Muzaini berkata suasana di markaz PAS tersebut mula dipenuhi orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum.

"Keadaan di sini sudah mula sesak, dengan anggaran ribuan orang mula datang menziarah. Suasana pilu turut dirasai dengan pemergian almarhum," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, sebentar tadi.

Sebelum itu, jenazah almarhum dimandikan dan dikafankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kemudian, jenazah di bawa ke Markaz PAS Pokok Sena dengan diiringi beberapa peronda polis.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut menziarahi almarhum pada jam 11.40 pagi tadi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum melalui laman Twitternya.

"Al-Fatihah. Takziah kepada keluarga Tan Sri Azizan Abdul Razak atas pemergian arwah, semoga roh beliau dicucuri rahmat," kata beliau yang kini berada di Amerika Syarikat.

Almarhum kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di HSB di sisi ahli keluarganya dan pimpinan PAS di peringkat pusat dan perhubungan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.
Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Almarhum meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan dan Shamsiah Shafie dengan 14 orang anak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...