STOCKHOLM, Sweden - Parti disko semasa waktu rehat pekerja makan tengah hari yang dikenali sebagai Lunch Beat semakin popular di sini sekali gus mencetuskan fenomena di Sweden.
Idea untuk mengadakan parti disko itu dicetuskan oleh seorang pemaju projek berusia 28 tahun, Molly Raenge pada 2010.
"Saya gemar bekerja dan saya suka keluar menari tetapi saya kecewa kerana sukar mencari waktu untuk melakukan kedua-dua aktiviti tersebut," kata Raenge.
"Justeru, saya terfikir, apa akan jadi jika saya menggabungkan kedua-duanya?"soalnya.
Menurut wanita berkenaan, parti disko Lunch Beat diadakan buat kali pertama pada Mei tahun lalu di sebuah garaj di sini yang dihadiri cuma 14 orang.
Namun, menurutnya, populariti parti disko berkenaan semakin meningkat.
Kini, lebih 300 orang menghadirinya setiap kali ia diadakan di Rumah Kebudayaan.
Selain bandar raya ini, Lunch Beat turut diadakan di sekitar 10 bandar lain di Sweden selain di Belgrade dengan acara serupa turut dirancang diadakan di ibu negara Colombia, Bogota.
Sesiapa sahaja boleh menganjurkan parti disko Lunch Beat asalkan mereka mematuhi manifesto di laman web penganjurnya, lunchbeat.org yang menyatakan setiap tetamu perlu menari.
Penganjur juga tidak dibenarkan mengaut keuntungan daripada parti tersebut dan ia mesti diadakan selama sejam semasa waktu makan tengah hari pada masa rehat pekerja.
Penganjur juga perlu menyediakan makanan buat tetamu mereka.
Di Rumah Kebudayaan di sini, sebaik sahaja pintu dibuka sejumlah tetamu daripada pelbagai bidang pekerjaan membanjiri premis berkenaan untuk membeli tiket masuk berharga 100 kronor (RM47) sebelum beratur di kaunter makanan yang turut menyediakan pisang dan minuman.
Pisang dan air diberi percuma tetapi tetamu perlu menukar tiket mereka untuk mendapatkan bungkusan makanan tengah hari.
Sebaik sahaja memperoleh makanan, mereka akan mula ke ruang tarian untuk menari sambil mengunyah makan tengah hari mereka.
"Parti ini sungguh menyeronokkan," kata seorang penduduk tempatan Eva Bjoerkman.
"Seronok dapat melupakan kerja buat sementara dan menari pada waktu tengah hari," katanya.