muka
Facebook Badge
TERBARU
Selasa, 13 Mei 2014
Krisis Terengganu: Pas ada tiga pilihan
SELEPAS beberapa jam Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar baharu Terengganu, berlaku krisis politik apabila Datuk Seri Ahmad Said selaku Adun Kijal dan Ghazali Taib selaku Adun Ajil dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar daripada Umno serta menjadi Adun bebas.
Hal ini menjadikan BN mempunyai bilangan Adun yang sama dengan pembangkang iaitu 15 - 15.
Kekuatan kerajaan BN ada pada 1 undi penentu pada Speaker.Ini merisikokan kejatuhan kerajaan BN di Terengganu.
Ahmad Said yang meletakkan jawatan sebagai MB petang semalam untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif menjadi MB bertindak sebagai seorang ahli politik yang bijak kerana tindakannya itu bakal menjadikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu yang paling pendek tempoh pentadbirannya yang mungkin tidak menjangkau satu hari.
Apakah tindakan terbaik Pas dalam suasana sebegini?
Di hadapan terbentang tiga pilihan.
Pertama, jika Ahmad Said dan Ghazali bersedia menjadi adun bebas yang menyokong Pas dan PKR maka penubuhan kerajaan baru boleh diusahakan.
Namun, keadaan ini akan menjadikan kerajaan negeri tidak stabil.
Kedua-dua adun bebas boleh pula menarik sokongan dan ia akan merisikokan kerajaan baru pula.
Pelbagai polisi pentadbiran negeri boleh terencat. Ketidakstabilan ini bukan pilihan terbaik rakyat Terengganu.
Kedua, boleh diusahakan kerajaan campuran BN, Pas PKR. Kalau 13 Mei 1969 menyaksikan kerjasama politik dua parti politik melayu Islam Umno dan Islam Melayu Pas diusahakan sehinga akhirnya terbentuk BN, maka 13 mei 2014 boleh menyaksikan sejarah baharu kerajaan campuran dua parti tersebut di peringkat negeri.
Namun, pilihan ini juga tidak mudah kerana melibatkan banyak pihak dan dasar parti. Ia boleh menjadi sejarah cubaan terkini penyatuan umat Islam, tetapi ia tidak membawa kepada kestabilan kepada kerajaan negeri juga.
Pilihan ketiga ialah pembubaran Dun Terengganu. Berikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan.
Pilihan raya peringkat negeri akan menjadi pungutan suara rakyat Terengganu terhadap pelbagai agenda perubahan yang dicanangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah perubahan MB Terengganu adalah salah satu agenda perubahan yang dihasratkan oleh Najib selepas berjaya menukar Ketua Menteri Sarawak. Najib mengharapkan projek di Terengganu berjalan lancar untuk digerakkan pula selepas ini perubahan Menteri Besar Pahang sebagaimana khabar angin tersebar. Jadikan PRK sebagai kayu ukur penerimaan rakyat terhadap perubahan ini.
Di pihak Pas dan PKR pula, PRK juga menjadi kayu ukur sejauhmana kejayaan menguasai 15 dun dimanfaatkan sebaiknya untuk menggambarkan kepada rakyat kesediaan Pas menjadi kerajaan menanti.
Tahap penerimaan rakyat terhadap pelbagai isu kegagalan pentadbiran BN di Terengganu yang dibangkitkan sebelum ini boleh diukur.
Isu pengambilan tanah Banggol Donas yang tidak mengikut lunas undang-undang, LPT II yang masih belum siap, status zon bebas cukai Empangan Kenyir, pembelian bas dwiguna darat dan air yang dilihat membazir, pembinaan jambatan drawbridge sungai Terengganu, projek mendalamkan sungai Terengganu yang tidak mengikut peraturan, isu perobohan Pasar Kedai Payang, pelombongan bijih besi Dungun dan terkini cadangan kenaikan kadar cukai pintu. Justeru, pilihan ini dilihat lebih releven.
Namun begitu rakyat juga tidak boleh terlalu berharap.
Dalam politik apa pun boleh berlaku. Dua Adun tadi mungkin sahaja kembali kepangkuan Umno jika kena gaya pujukan berbisa oleh Najib.
Lagipun dalam satu kenyataan Ahmad Said menyatakan kekecewaannya kerana pertukaran MB di buat di saat perkahwinan anak beliau akan berlangsung pada 17 Mei 2014.
Kekecewaan itu mendorongnya bertindak dengan apa yang berlaku sekarang. Orang yang kecewa boleh dipujuk!!!
Apa pun rakyat Terengganu tentu mengharapkan yang terbaik dari pemerintah terbaik. Berikan mandat kembali kepada rakyat walau apa pun terjadi!
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus