muka

muka

Facebook Badge

TERBARU

Rabu, 10 Oktober 2012

PANAS : PEMBUNUH NORZI AKHIRNYA KE TALI GANTUNG


GRADUAN UKM BUNUH TEMAN WANITA KE TALI GANTUNG

SHAH ALAM: Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohammad, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, Norzi Ayu Md Noor, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa, menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, gagal membuktikan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Irawadi, 28, graduan jurusan Ekonomi dan Perniagaan, dituduh membunuh Norzi Ayu, 27, di rumah sewa mangsa di No 2-1-6 Blok ST12, Pangsapuri Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di antara jam 3.30 petang dan 5 petang pada 26 Julai 2004.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Oktober 2005, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar memanggil 18 saksi, manakala pihak pembelaan yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid mengemukakan seorang saksi.
Ahli keluarga Irawadi segera mengerumuninya selepas prosiding selesai, manakala tertuduh kelihatan sebak ketika dibawa semula ke lokap mahkamah.
Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, mahkamah mendapati pembelaan hanya menumpukan satu isu, iaitu tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh Norzi Ayu - seorang pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur.
"Tertuduh memberi keterangan bahawa dia tertikam si mati ketika si mati cuba menghalang tertuduh keluar (dari bilik) untuk bertemu SP4 (saksi pendakwaan keempat), pengawal keselamatan di UKM, Azman Mat Zain, 37. Keterangan tertuduh jelas bercanggah dengan keterangan saksi," katanya.
Beliau berkata, tingkah laku tertuduh melarikan diri dengan pisau yang telah menikam mangsa jelas menunjukkan dia ada niat membunuh mangsa.
Mohd Yazid juga berkata, ada enam perkara dibangkitkan dalam kes pendakwaan yang tidak disangkal di peringkat pembelaan.
"Mahkamah mendapati berdasarkan keterangan saksi keempat, hubungan tertuduh dan mangsa tidak baik beberapa bulan sebelum kejadian dan mangsa juga ada memberitahu saksi keempat bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain dan akan bertunang, jelas tidak dicabar oleh peguam bela tertuduh," katanya.
Selain itu, katanya, keterangan Azman yang juga guru silat mangsa bahawa dia memasuki bilik Norzi Ayu dan mendapati tertuduh sedang merangkul mangsa dengan tangannya memegang pisau, tidak disangkal pada peringkat pembelaan.
"Keterangan saksi sama yang dia mengetuk pintu rumah mangsa selama setengah jam, juga tidak disangkal pembelaan," katanya.
Beliau berkata, pembelaan turut tidak menyangkal keterangan Azman bahawa selepas berlaku pertelingkahan selama setengah jam, Norzi Ayu dapat melepaskan diri dan masuk ke biliknya dengan diikuti tertuduh.
"Selepas masuk ke dalam bilik, tertuduh berada dalam bilik bersama mangsa dalam tempoh lima hingga 10 minit, juga tidak dipertikaikan.
"Dalam tempoh lima hingga 10 minit apabila SP4 menemui kunci, buka pintu dan nampak tertuduh terlentang dengan pisau berlumuran darah serta si mati terbaring di atas katil dalam keadaan tertiarap juga tidak dipertikaikan pembelaan," katanya.
Mohd Yazid berkata, beliau turut meneliti keterangan saksi ke-16 pendakwaan, iaitu Pakar Perunding Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Khairul Azman Ibrahim, yang mengesahkan mangsa mengalami lima kecederaan termasuk di pembuluh darah utama di tengah abdomen.
"Kesan kecederaan ini, luka bocor yang agak berat, iaitu 1.5 sentimeter (sm) dengan kedalaman enam sm. Mengikut keterangan ahli patologi, kematian itu disebabkan luka dalaman yang (terhasil) dengan menggunakan satu senjata panjang yang sampai ke tempat luka," katanya.
Mohd Yazid berkata, berdasarkan kesan luka dan kesan lebam pudar pada beberapa bahagian tubuh Norzi Ayu, beliau menolak keterangan tertuduh bahawa dia tercucuk mangsa ketika bergelut.

sejarah

Pegawai penyelidik perubatan mati dibunuh

Pegawai penyelidik perubatan mati dibunuh
Oleh: YAP LEE YING
ALLAHYARHAM Norzi Ayu Md. Noor yang mati dibunuh dipercayai ada kaitan dengan konflik cinta tiga segi atau bermotifkan cemburu di Pangsapuri Seri Tanjung, Seksyen 7, Taman Seri Tanjung, Bandar Baru Bangi, semalam.
KAJANG 27 Julai - Seorang Pegawai Penyelidik Perubatan Kementerian Kesihatan mati ditikam pada perut dipercayai oleh teman lelakinya selepas diikat dengan tali pinggang baju silat di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Bangi, semalam.
Sebelum ditikam dalam kejadian pukul 3 petang itu, Norzi Ayu Md. Noor, 27, dikatakan bertengkar dengan lelaki berkenaan di Pangsapuri Seri Tanjung, Seksyen 7, Taman Seri Tanjung.
Norzi Ayu yang berasal dari Klang, mati di Hospital Kajang akibat dua tikaman pada perutnya.
Siasatan awal polis mendapati kes terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik cinta tiga segi atau bermotifkan cemburu.
Norzi Ayu yang merupakan anak sulung daripada lima beradik dijadual akan menerima Ijazah Sarjana dalam jurusan Bioteknologi Genetik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bulan depan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Abu Bakar Mustaffa berkata, dalam kejadian semalam, Norzi Ayu yang menetap di Tingkat 1, pangsapuri tersebut didatangi oleh seorang lelaki yang dipercayai dikenalinya.
Bagaimanapun menurut Abu Bakar, berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka dan mangsa telah sempat menulis sekeping nota berupa nombor telefon untuk meminta bantuan.
Katanya, nota yang dicampak oleh mangsa melalui tingkap itu ditemui oleh seorang wanita yang secara kebetulan berada di kawasan itu.
``Wanita itu kemudian menghubungi nombor tersebut dan menceritakan kandungan nota kepada pemilik nombor telefon itu, yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun dan kenalan kepada mangsa,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bertindak daripada maklumat itu, lelaki yang dihubungi tersebut berkejar ke tempat kejadian dan tiba di rumah mangsa kira-kira 15 minit kemudian.
Semasa dia memasuki rumah mangsa, suspek kelihatan sedang memegang dan bertindak kasar terhadap Norzi Ayu.
``Lelaki itu gagal memujuk suspek untuk menghentikan tindakannya dan dia (suspek) kemudian menarik mangsa ke dalam sebuah bilik dan mengunci pintu dari dalam,'' kata Abu Bakar.
Seketika kemudian, jelasnya, lelaki itu berjaya membuka pintu bilik tersebut setelah berkali-kali mencuba. Dia mendapati mangsa berlumuran darah dan menjerit meminta pertolongan.
Norzi Ayu gagal diselamatkan selepas mengalami pendarahan yang banyak dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang pada pukul 8.15 malam.
Ekoran kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kes tersebut.
Beliau berkata, polis menahan lelaki itu di Hospital Kajang ketika dia melawat mangsa yang dirawat di situ.
Siasatan awal polis juga, katanya, mendapati lelaki tersebut merupakan kenalan kepada mangsa semasa sama-sama menuntut di UKM.
``Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah disebabkan perasaan cemburu di antara mereka.
``Suspek dipercayai mengikat mangsa dengan tali pinggang baju silat sebelum menikamnya dengan objek tajam,'' kata Abu Bakar.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Md. Noor, 52, berkata, anaknya telah lama mengenali lelaki itu semasa menuntut di UKM.
``Mereka merupakan kenalan malah bersama-sama menyertai pasukan Silat Gayung semasa menuntut,'' katanya.
Sementara itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-87362222 bagi membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...