muka

muka

Facebook Badge

TERBARU

Isnin, 25 Ogos 2014

Bila dedalu-dedalu liar tidak dapat hinggap, pokok pula ditebang

Dalam Kongress ke-10 PKR yang baru selesai semalam, beberapa kenyataan dari pimpinan PKR yang menarik didengar dan ia menggerakkan saya untuk memberikan pandangan sebagai seorang ditepian politik tanahair. Ia menarik kerana dalam ghairah untuk menunjukkan kewibawaan mereka, pemimpin pemimpin dalam parti itu seolah-olah mengakui hakikat sebenar yang dihadapi oleh parti itu.

Yang paling menarik lagi ialah kenyataan Anwar yang PKR tetap hidup walaupun beliau dipenjarakan, dan ia tentulah kenyataan yang berkait dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan membicarakan kes sodomi 2 beliau penghujung oktober ini.

Sesungguhnya PKR tetap akan hidup jika beliau dipenjarakan oleh undang-undang negara. Malahan saya berpendapat PKR akan lebih mantap lagi kerana jika beliau sudah tidak berada buat sementara dalam politik perdana, PKR tidak akan terbeban dengan masalah peribadi beliau.

Ia akan tetap merupakan sumbangan besar dari Anwar untuk partinya yang diketuai oleh isterinya Dr Wan Azizah. Saya selalu berkata sumbangan pemimpin itu bukan sahaja dengan memegang jawatan dan kuasa, bersara dan mengenepikan diri dari kegiatan politik itu juga boleh dianggap sebagai sumbangan besar terhadap perjuangan parti. PKR tidak akan menghadapi masalah mempertahankan peribadi Anwar dan parti akan lebih bersih dari pandangan kaca mata rakyat yang ramai.

Begitu juga dalam UMNO sekarang ini. Ramai berpendapat jika Najib mahu terus memberikan sumbangan kepada partinya, beliau lebih baik bersara supaya partinya tidak terhimpit oleh kelemahan beliau mentadbir negara. Memberikan ahli-ahli partinya dan rakyat peluang untuk menyusun semula siasah negara itu akan dianggap sebagai pengorbanan kepada rakyat dan negara yang sangat berharga dan ditunggu-tunggu oleh mereka yang serius untuk melihat perubahan kepada negara.

Pendeknya sekarang sumbangan besar boleh diberikan kepada parti dengan tidak bergiat lagi dalam politik dan ia nampaknya pandangan dan cadangan ini begitu relevan baik kepada pemimpin kerajaan dan pemimpin-pemimpin  pembangkang.

Masalahnya pemimpin yang sudah jelas lemah dan bermasalah tidak begitu sudi untuk memberikan sumbangan secara begini. Mereka ini 'ibarat dedalu yang tumbuh subur di atas pokok yang lain'. Dedalu ini akan memakan segala apa yang ada pada pokok itu dan akhirnya pokok itu akan menjadi kurus dan mati akibat dipanjat oleh dedalu yang menghisap segala makanan yang sepatutnya digunakan untuk pohon yang besar tadi.

Baik dalam PR mahu pun BN, pimpinan mereka adalah pokok dedalu yang dalam bahasa biasanya ialah ‘parasite’. Dedalu ini pasti akan membuatkan pokok yang dihinggapi dedalu itu akan mati. UMNO menjadi begini kerana pimpinan dedalu, Pakatan Rakyat pun sarat dengan dedalu yang membunuh ini.

Salah satu dari penyebab Khalid menjadi begini ialah kerana beliau terlalu kedekut dan amat payah bagi dedalu-dedalu dikelilinginya untuk menumpang hidup di atas kuasa PKR di Selangor itu.

Kata setengah orang dedalu dalam PKR itu adalah penghijrahan dedalu-dedalu dari UMNO dahulu. Dedalu-dedalu ini yang membuatkan kerajaan Selangor itu dipimpin oleh orang lain. Jika pimpinan ditukar mungkin dedalu-dedalu ini akan mempunyai peluang untuk memanjat dan hidup di atas pokok yang rendang di Selangor ini.

Yang perlu dijaga ialah pokok yang rendang ini, seperti yang dilakukan oleh Khalid yang mempunyai imej tidak pandai berpolitik itu. “Jika terjadi pertukaran dengan calon dari PKR itu, kita akan lihat dengan pantas pertumbuhan dedalu-dedalu yang berkeliaran sekarang ini” kata seorang yang lama dalam politik Selangor semasa menghadiri majlis meraikan hariraya di rumah sahabat saya di Kuala Lumpur malam tadi.

Khamis, 21 Ogos 2014

Antara ego, keras kepala dan PRN Selangor

Kalau boleh masing-masing mahu elakkan Pilihanraya Negeri di Selangor. DAP tidak mahu, PKR tidak mahu dan saya percaya PAS juga tidak mahu. Mengapa tidak mahu, kerana sebagaimana tegas Kit Siang semalam keyakinan rakyat terhadap PR diperingkat ini perlu dipulihkan.
Dalam erti kata lain, kalau dibubar Dewan Selangor dan diadakan PRN berkemungkinan prestasi PR akan menurun berbanding PRU yang lalu dan berangkali tidak juga mustahil boleh berlaku peralihan kuasa.

Saya juga percaya BN juga sebenarnya bukanlah bernafsu sangat mahu menghadapi PRN di Selangor, kerana suasananya sukar dibaca, mungkin prestasi PR turun prestasi mereka naik. Mungkin PR tumbang mereka naik. Mungkin juga mereka terus pupus.
Apa pun demikianlah gambaran kucar-kacirnya senario politik Selangor berpunca dari keghairahan satu pihak mahu menukar MB separuh penggal.

Apabila nasihat orang lama dan berpengalaman tidak dipedulikan. Apabila rambut yang mahu ditarik dari dalam tepung disentap dengan ganas dan biadap. Rambut putus, tepung berselerak menghodohkan wajah sendiri.
Ke mana Selangor selepas ini?

Mungkin Tan Sri Khalid Ibrahim setelah dipukul, dibelasah dan ditelanjangkan dikhalayak ramai (mirip bagaimana seorang Wirawan pernah diperlakukan cuma senario sedikit berbeza) sanggup tunduk bagaikan padi, melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada Tuanku Sultan bagi memilih MB yang baru dari kalangan parti yang majoriti.
Mungkin juga beliau, dengan darah Bugis yang merah pekat mengalir dalam tubuh, enggan tunduk. Mandi biar basah. Lantaran sudah diaibkan biarlah semua sama-sama merasa. Mungkinkah Tan Sri menyembah kepada Tuanku Sultan memohon perkenan Tuanku agar Dewan Negeri dibubarkan dan PRN diadakan dalam tempuh 60 hari?

Atau mungkinkah, politik rasional, tolak ansur, beradab dan beradat diutamakan.
Bagaimana?
Mungkinkah ada pihak yang boleh bertemu muka dengan Tan Sri Khalid, bawa berbincang. Berlaga lutut duduk demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negeri, kita berdamai. Semua pihak mengenepikan kepentingan peribadi, nasib dan masa depan rakyat dan negeri diutamakan. Mungkinkah ada yang sangat besar jiwanya dikalangan pimpinan kita boleh melakukan demikian.
Kenapa kita harus amalkan politik bertelagah, berkeras kepala, berkerat rotan dan berpatah arang? Kita bukan berhadapan dengan musuh politik, kita berhadapan dengan seorang insan yang luka dan cedera egonya lantaran keghairahan dan nafsu serakah sesetengah pihak.

Personaliti seperti Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Timbalan Mursyidul Am PAS, boleh memain peranan, dalam ruang kosong yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin yang tinggi hidung dan bongkak.
Itu kalau kita bersungguh mahu mengelakkan PRN. Biarlah rombongan perdamaian dihantar, Tan Sri Khalid yang saya kenal pernah di hari pertama menjadi MB menyatakan pada saya bahwa beliau tidak perlu kepada jawatan ini tetapi menerimanya demi kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan negeri.

Kita akui beliau telah memberi khidmat yang baik. Kita ubat dan rawat luka-lukanya dan kita beri hormat dan penghargaan kepadanya. Beliau tidak mahu melepaskan kerusi keramat itu saya percaya bukan kerana beliau mahu mengkayakan diri, keluarga atau kroni, tetapi semata-mata kerana mahu memastikan ia tidak jatuh kepada tangan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tan Sri Khalid bukan Harun Idris, bukan Muhammad Taib bukan Abu Hassan, bukan juga Khir Toyo. Biarlah kita bertolak ansur, mengalah dimana perlu, yang penting Tan Sri boleh dibawa berbincang melepaskan kerusi ini dengan cara dan kaedah yang paling baik dan mulia.

Mungkinkah ini boleh berlaku diperingkat ini?

Atau mungkinkah kita bersedia sahaja lantaran keghairahan pihak tertentu, berhadapan dengan PRN yang sepatutnya tidak perlu, membuang masa dan penuh risiko itu. -

Rabu, 20 Ogos 2014

Apabila orang amanah disingkirkan



“Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Itu keputusan Majlis Syura Ulamak PAS pada 6 Ogos lalu. Walaubagaimanpun har ini ia tidak terpakai kerana ia telah di “overtaken by event” apabila PKR telah memecat Tan Sri Khalid sebagai ahli.

Namun oleh kerana proses penyingkiran MB dan perlantikan MB baru adalah satu proses perundangan yang rumit melibatkan parti yang memerintah, Tuanku Sultan dan Dewan Negeri maka sehingga ke hari ini Tan Si Khalid kekal sebagai MB sehinggalah Tuanku Sultan menitahkan proses seterusnya.
PAS ternyata tidak gugup dan gelabah dalam berhadapan dengan isu yang dicetuskan rakan kongsi politiknya. Malah mengambil keputusan yang bijak apabila mengarahkan keempat-empat EXCO nya terus kekal dalam ertikata lain membantu MB yang ada terus memerintah negeri demi kelangsungan kerajaan ini. EXCO-EXCO PKR dan DAP walaubagaimanapun telah dipecat ekoran berkeras kepala dan menunjuk sikap gugup dan gelabah.

Langkah PAS ini telah mendapat pujian banyak pihak terutama rakyat jelata di Selangor.
Berbalik kepada keputusan Majlis Syura Ulamak di atas yang ternyata mengkaji dan meneliti akhlak kepimpinan Tan Sri Khalid dalam memegang amanah sebagai MB, hari ini salah seorang EXCO PAS Dr Halimah Ali dilaporkan oleh The Star Online sebagai berkata bahawa Tan Sri adalah seorang:

“….a man who is very prudent with the people's money’.
“….seorang yang sangat amanah dengan wang rakyat”

Menurut Dr Halimah itulah pengalamannya selama dua penggal berkhidmat di bawah Tan Sri sebagai MB.

Dr Halimah dipetik sebagai berkata:

"But if you ask if I had any issues with him, I would say that it is very difficult to ask for allocations from him," she told reporters at her office Wednesday. Dr Halimah said Khalid only approved allocations after scrutinising all details and points of an idea brought to him.

"But it is a good thing that he (Khalid) is careful with the people's money," she said

Tetapi jika anda Tanya saya samada saya ada masalah (isu) dengan beliau, sebenarnya sangat susah mendapatkan peruntukan darinya” ……Kata Dr Halimah beliau (Khalid) hanya akan meluluskan peruntukkan apabila telah meneliti secara terperinci semua maklumat dan cadangan yang dikemukakan kepadanya.
Namun tindakan beliau itu sesuatu yang terpuji kerana ternyata beliau berhati-hati dengan wang rakyat.

Inilah kualiti seorang pemimpin Islam yang baik, iaitu amanah dan berhati-hati dengan wang rakyat yang diamanahkan kepadanya. Menurut sejarah Selangor, antara faktor utama seseorang MB jatuh dari kerusinya di negeri ini adalah apabila ia kecundang dalam mempertahankan amanah itu. Ada yang dipenjarakan, ada yang digugurkan dan ada yang ditolak oleh rakyat angkaranya.

Saya ingat satu ketika dahulu apabila berceramah dengan Tan Sri ketika beliau belum MB lagi, kata Tan Sri semasa melancarkan ASN/ASB dahulu, apabila pelabur-pelabur seluruh Negara datang berduyun-duyun melaburkan wang mereka masing-masing, kata Tan Sri, pernah ibunya berkata (lebih kurang dalam ingatan saya):
“Sahak (nama timangan Tan Sri) duit orang ramai yang kau ambil tu kau simpan kat mana. Jaga duit orang nanti hilang”.

Begitulah dengan jenaka Tan Sri sampaikan pengalamannya, tetapi mesejnya begitulah akhlaknya sejak dahulu.
Inilah MB yang telah kita singkirkan. Seorang yang jujur, telus dan amanah. Kualiti yang sangat ketandusan bag jawatan MB di Selangor tetapi dicetuskan oleh Tan Sri Khalid selama beliau menjadi MB.

Berbahagia dan ketawa besarlah mereka yang bersepakat menjatuhkannya.

Ahad, 17 Ogos 2014

ANWAR DAN NEPOTISME: Pembohongan Politik yang Nyata??



Nepotisme dan kronisme dalam politik negara ini bukanlah sesuatu yang baru. Namun apabila seorang Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertarung mati-matian untuk meletakkan presiden parti nya yang juga merupakan isterinya sebagai Menteri Besar (MB) Selangor, maka ini adalah sesuatu yang baru dan membimbangkan.

Jika mengikuti sejarah reformasi Anwar Ibrahim ini, cara beliau melawan Barisan Nasional (BN) adalah sentiasa konsisten iaitu memainkan isu-isu yang bersangkut paut dengan korupsi, kronisme dan nepotisme. Ini memberikan satu kelebihan kepada pasukan Anwar dalam usaha untuk meraih populariti dalam kalangan rakyat. Pilihanraya Umum ke-13 adalah bukti betapa rakyat menolak korupsi, kronisme dan nepotisme ini.

Wan Azizah Sebagai MB Selangor

30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, PKR dan PAS yang menyatakan sokongan kuat kepada Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk mengambil alih kerusi MB Selangor daripada Khalid Ibrahim memang menimbulkan keraguan munasabah pada pendirian mereka terhadap amalan kronisme dan nepotisme dalam parti itu sendiri.

Tiada seorang pun mahu berbicara tentang perebutan kerusi MB ini dan pada masa yang sama seolah menghalalkan amalan nepotisme ini dipraktikkan. Menariknya lagi, dua ADUN PAS juga sanggup untuk meninggalkan parti mereka sekiranya PAS Pusat mengambil tindakan terhadap mereka kerana sokongan terbuka terhadap calon MB pilihan Anwar Ibrahim. Tetapi tidak pula ketegasan itu ditunjukkan dalam soal untuk melawan nepotisme dalam PR.

Pendirian mereka tentang soal nepotisme, kronisme dan politik wang ketika melawan BN lebih jelas berbanding pendirian setiap ADUN yang menyokong Wan Azizah sebagai MB Selangor yang baru dan hakikatnya sokongan itu boleh diterjemahkan sebagai satu sokongan padu oleh PR kepada politik nepotisme yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim.

Langkah Pelangai dan Rosmah Mansor sebagai MB Pahang?

Apakah agaknya reaksi PR sekiranya Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN mengarahkan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob untuk mengosongkan DUN Pelangai dan meletakkan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai calon BN dan sekiranya menang akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Pahang?

Apakah Husam Musa akan menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri dan berikan justifikasi mengapa Langkah Pelangai ini salah? Bagaimana pula dengan reaksi Ahli Parlimen Raub yang melabelkan Khalid Ibrahim sebagai pelacur politik sedangkan yang kini sedang melacurkan demokrasi dalam usaha untuk mengangkat nepotisme adalah dalam kalangan PR sendiri?

Jika tindakan PR yang kekal mahu berikan kerusi MB Selangor kepada Wan Azizah maka segala tuduhan PR melibatkan nepotisme, kronisme dan politik wang terhadap BN juga harus ditarik balik.

Jika Langkah Kajang itu wajar dan menepati definisi nepotisme mengikut kerangka PR maka Langkah Pelangai (sekiranya berlaku) juga adalah wajar dan menepati definisi nepotisme mengikut fahaman BN.

PR terlupa bahawa dalam usaha untuk memastikan negeri terkaya di Malaysia berada dibawah kuasa sebuah keluarga, mereka hakikatnya sedang menghancurkan demokrasi yang mereka jaja sebelum ini.

Rakyat di sepak terajang

Hampir 15 tahun rakyat telah dibohongi dan ditipu hidup-hidup oleh seluruh pemimpinan PR. Kita dipersembahkan dengan satu wayang kulit yang maha hebat dan tiada cacat cela. Kita disajikan dengan barisan pemimpin yang kononnya bersih dan tidak terpalit sedikitpun dengan kekotoran najis politik. Namun segala kekusutan yang wujud hari ini adalah akibat ketamakkan kepada kuasa dan wang. Para pemimpin PR harus menjawab pada rakyat apa definisi mereka terhadap kronisme, nepotisme dan politik wang. Jika politik sebegini boleh dilacurkan di Selangor apakah kemungkinan ianya telah pun dilacurkan juga di Pulau Pinang?

52% rakyat yang mengundi PR menunggu jawapan para politikus ini. Kita tidak mahu membaca lagi surat-surat terbuka kepada Khalid Ibrahim mahupun segala macam laporan yang menyerang peribadi pemimpin yang tidak sebulu dengan mereka. Apa yang kita dambakan disini adalah mengapa nepotisme, kronisme dijunjung secara terbuka sedangkan rakyat mengundi PR adalah kerana janji pilihanraya mereka sebelum ini adalah untuk melawan menghapuskan politik kotor. Realitinya, rakyat sudah muak dengan pelacur-pelacur politik ini yang sedang khusyuk berdansa atas platform Langkah Kajang tanpa menghiraukan kebajikan dan kehendak rakyat yang mengundi mereka.

Terus terang sajalah, krisis Selangor adalah suatu kemenangan kepada politik nepotisme.

Bilangan kerusi melebihi penonton ; Majlis penerangan selangor di dun paya jaras

Alhamdulillah..Majlis Penerangan Isu
Semasa Selangor berjalan dengan
 jayanya di DUN PAYA JARAS..kedatangan
ke ceramah mlm ini melebihi jangkaan..
Papepun..Hidup Azwan Ali! Azwan Ali 4 MB!


Khamis, 14 Ogos 2014

Kronologi Pengambilalihan Guthrie Dari Inggeris

Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2 (1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990. Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.

Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai 175,000 ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah kelapa sawit, getah dan teh pada tahun 1981.
Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari British sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah terbesar di negara ini.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang resolusi. Guthrie juga menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula getah untuk pekebun kecil Melayu dan penubuhan kesatuan sekerja yang dianggap menyusahkan British.

Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi kurang 17% dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini bertujuan agar orang tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur.

Namun begitu, tembelang British akhirnya pecah apabila didapati bahawa kebanyakan tanah kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk pertanian dan lazimnya terletak di atas kawasan bukit.

[Pemerintah Anti-Penjajah, Mahathir Menduduki Kerusi Penting]

Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981.

Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf.

Dan jika pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.

Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.

2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah. Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.

Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.
Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.

Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.
Dato Ismail Ali Sebagai Pemimpin Serangan

Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.

Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan PNB — satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.
Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan.

Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di Malaysia.

Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat. Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.

Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC.
Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.
Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.

[Kerjasama Pelbagai Pihak.]

Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.

4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui oleh pengurus pelaburan bernama KHALID IBRAHIM diberi tugas khas untuk meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.



Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih. Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.

Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.

Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan (sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).

Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.

[Mengapa Guthrie?]

Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan OCBC.

Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15% saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.

Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur kecil.

Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.
Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.

[Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”]

Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).

Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.

Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.

Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.

Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.

Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.

Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.

Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.

Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.

Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.

Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.
Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.

[Mahathir Terus Menekan British]

Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.

Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan kerajaan British malu besar.

Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga “licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai “nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara sama.

Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.

Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.

Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.
Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan anak tempatan.

Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.

Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit putih.

Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan dengan cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.

[Hasil Besar dari Serangan]

Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup singkat.

Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu rundingan.

Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di Malaysia kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain milik Inggeris di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.

Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.

Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.

Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan, Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.

Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”

Kredit: Sahabat Alam Maya - SAM

Rabu, 13 Ogos 2014

Isu jawatan MB Selangor



1. TIDAK GILA JAWATAN
PAS sejak seusai PRU13 lagi telah mengumumkan jawatan MB Selangor diserah kepada PKR walaupun kerusi Dun PAS melebihi PKR, ia diumumkan sendiri Presiden PAS, TGHH atas semangat pakatan di mana PAS sudah ada Kelantan dan DAP pula P.Pinang.

2. TIDAK DIMESYUARATKAN
PKR menyusun 'Langkah Kajang' tanpa berbincang dengan PAS dan DAP hingga PRK Kajang 'terpaksa' dihadapi. PAS menegaskan membantu mengikut keperluan. Manakala soal pertukaran MB tidak berbangkit; sekaligus menjadi pendirian rasmi PAS.

3. CADANGAN
Apabila Ketua Umum PKR, DSAI mengumumkan pertukaran MB Selangor kepada DSWA dengan PAS dan DAP akan pulang membawa perbincangan hal itu kepada parti masing-masing bermakna hal itu adalah berstatus cadangan.

4. PENDIRIAN PARTI
Reaksi kepada pertanyaan media oleh TGHH bukanlah ulasan atau pandangan peribadinya. Pernyataan beliau itu adalah 'pendirian rasmi' PAS sebagaimana telah diputus dan dipegang sejak PRK Kajang.

5. MEMAKSA & GOPOH
Mereka yang mengkritik TGHH kerana penyataan itu hakikatnya tidak demokratik kerana lontaran DSAI itu hanyalah berstatus cadangan. Mereka seakan memaksa TGHH menerimanya sebagai keputusan sedang mesyuarat belum berlangsung, bermakna merekalah yang gopoh dan mengkhianati.

6. MEMPERIBADIKAN ISU
Pendirian PAS yang diulang sebut oleh TGHH itu menjadikan beliau sasaran serangan kononnya sibuk dan mencampuri hak PKR. Mereka cuba memperibadikan isu ini. Jika ini hanya semata-mata isu dalaman PKR, mengapa menggunakan mesyuarat PR? Mengapa LGE/DAP mahu mempertahankannya sama? Ini bukan isu keahlian PKR tapi isu kerusi MB.

7. TABIAT PERJUANGAN ISLAM
Pendirian yang dilihat kononnya bercanggah itu dinilai sebagai usaha PAS bergabung dengan Umno dan mahu keluar dari PR. Ini tafsiran bersifat fitnah dan gagal memahami tabiat perjuangan Islam. PAS telah mengulangi dalam beberapa kali muktamar bahawa ia akan kekal bersama PR yang menjadi janji dan jamaah Islam tidak memungkiri janji. Sangat aneh mereka ya ng berburuk sangka pada ulama dan jamaah sendiri. Kenapa tidak berfikir PKR dan DAP yang mungkin keluar PR?

8. SERANGAN BERBALAS
Gagal mendapat sokongan, PKR dilihat melancarkan serangan terutama kepada PAS termasuk batang tubuh TGHH. Malah, beberapa pimpinan PAS juga berkelakuan sedemikian. Antara diserang juga pentadbiran Kerajaan PR Kedah yang lalu hingga mengundang pendedahan mantan SETPOL MB Kedah, Almarhum TSAR. Jika sesiapa meneliti penulisan itu, ia bukan pendedahan penyelewengan tapi tuntutan (demand) yang menggambarkan sikap PKR. Kenapa mereka melatah?

9. LEMAH AQIDAH
Ada ahli PAS sudahpun longlai sebelum bertempur dengan nada mengugut andai PAS sendirian tidak akan mencapai cita-cita memerintah Malaysia. Inilah hujah akal yang terbukti lemah kerana Quran telahpun menghidangkan 1001 iktibar tamkin.

10. PENDAKWAAN
Tanpa berselindung, TSKI dihadapkan oleh pimpinan tertinggi PKR dengan keraguan berkaitan salahguna kuasa dan penyelewengan (sanggup mereka tikam rakan sendiri?). Tetapi yang utamanya ialah TSKI diletakkan seperti telah dibuktikan bersalah sedangkan prosiding pengadilan tidak dilakukan atas beliau. Sedangkan kezaliman mendapatkan hak seperti itulah yang selama ini PAS, PKR dan DAP perjuangkan terutama untuk DSAI. Akhirnya TSKI dipecat pada 9 Ogos, ternyata langkah PKR sangat gopoh kerana tidak sempat menanti 10 Ogos yang menjadi tarikh asal PAS untuk menyatakan jawapan. Bermakna juga PKR merasai impak keputusan MSU yang bersidang sebelum itu. Paling memeningkan ialah hendak menjelaskan kepada rakyat kerana selama ini pentadbiran PR Selangor dijadikan modal ceramah satu bentuk pemerintahan yang telus dan berjaya oleh PR ke arah cita-cita model pemerintahan Malaysia baru.

11. MENDAHULUI MESYUARAT
Tidak berbangkit isu MSU mendahului Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kerana semua hal terikat dengan panduan syarak dan MSU telahpun menunjukkan sikap proaktifnya. Semua entiti PAS yang lain adalah penetap pelaksanaan dan pelaksana.

12. HIMPUNAN DILEMA
Sikap PKR dan DAP terkini meletakkan PAS dalam dilema kerana ada unsur mahu berpecah. Lebih malang nada-nada menuduh PAS akan bersama BN Selangor dalam situasi ini. Tetapi kerana isu ini ada pihak yang nyata seperti dipinggirkan iaitulah rakyat. Malah, meletakkan PR pada situasi genting iaitu kemungkinan bertembung dengan istana dan Pilihan Raya Negeri yang boleh menatijahkan PR kalah dan hilang pemerintahan (Pengarah Strategik PKR telahpun nyatakan sanggup hilang Selangor). Jadi, apakah tujuan utama sebuah pemerintahan yang difahami PKR dan DAP?

13. HUKUM YANG MENGIKAT
Kita yakin anggota MSU kita adalah ulama yang berkemampuan melihat dan memahami sesuatu perkara secara spontan (syai' badihi). Tetapi, sidang MSU menilai konteks isu ini berdasarkan hukum Islam yakni bersumberkan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas. Sudah pasti hal berkaitan kepimpinan, rakyat, negeri dan perundangan yang menjadi intipati penting dalam siyasah syariyyah telah diteliti. Sebagai ahli/pimpinan PAS, sewajibnya keputusan syarak ini menjadi hukum yang mengikat, tidak mungkin ada hukum lebih tinggi, itulah yang diimani selama ini. Maka setiap ahli PAS perlu menilai kembali intima'nya terhadap jamaah ini. Wallahu'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...